Kedatangan masyarakat India dan Cina ke Alam Melayu dikatakan bermula semenjak awal abad Masihi. Interaksi ini terjalin dengan harmoni, aktif dan sentiasa mempengaruhi antara satu sama lain. Agama, bahasa, pegangan nilai, budaya, adat dan sistem sosial boleh mempengaruhi interaksi antara tamadun. Ini telah terbukti di alam melayu dengan terbinanya Malaysia dengan identiti yang unik.
Hubungan antara orang-orang Cina telah terjalin dari zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Dengan kedatangan Laksamana Zheng He dan pengikutnya ke Melaka, mereka membawa barang-barang dagangan dari China seperti sutera dan tembikar. Mereka juga telah membina penempatan di sini. Perkahwinan Sultan Melaka dengan Puteri Hang Li Po telah mengeratkan hubungan ini. Namun sehingga ke hari ini, masyarakat Cina yang telah di asimilasi dengan budaya dan adat tempatan masih wujud di Melaka dan dipanggil golongan Baba dan Nyonya atau kaum Peranakan. Mereka bertutur dalam bahasa Melayu dengan gayanya yang tersendiri. Masakan Baba dipengaruhi oleh masakan Melayu, ia juga mempunyai unsur-unsur masakan Cina. Mereka juga menggunakan tangan ketika makan seperti orang Melayu. Golongan Baba & Nyonya ini adalah unik di Malaysia.
Semasa penjajahan British di Tanah Melayu, orang-orang Cina dari Tanah Besar China telah dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah. Setelah kemerdekaan, orang-orang Cina telah mendapat taraf kerakyatan dan menjadi warganegara Malaysia. Dengan itu, budaya dan tamadun bangsa Cina juga telah berkembang di Malaysia.
Hari ini masyarakat Cina telah bersama-sama rakyat Malaysia dalam segala aspek pembangunan dan perkembangan negara Malaysia. Masyarakat Cina merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Masyarakat Cina juga turut melibatkan diri dalam bidang pentadbiran kerajaan, politik, pertahanan dan keusahawanan dan membantu perkembangan Malaysia sehingga ke hari ini.
Pengaruh tamadun Cina juga dapat dilihat melalui serapan beberapa istilah seperti:
- Makanan & buah-buahan (Cincau, kuih, tauge, tauhu, bihun)
- Pakaian & barang dagangan (candu, angklung, tokok, gincu, koyok)
- Peralatan Rumah (loceng, beca, sempoa, tekoh, tanglung)
- Gelaran (apek, nyonya, tauke, kongsi, gua, lu)
- Permainan (pakau, congkak, mah-jong)
Pengaruh tamadun India pula berkait dengan konsep devaraja yang sememangnya jelas memberi impak kepada tamadun Melayu. Gelaran raja telah digunakan sebelum kedatangan Islam yang selepas itu telah di tukar kepada Sultan. Konsep devaraja berkait rapat dengan konsep daulat dan derhaka. Raja memegang kedudukan teratas dalam status sosial, maka kepada sesiapa yang mengingkari arahan raja akan di anggap menderhaka dan akan dihukum. Konsep ini bercanggah dengan ajaran Islam, namun yang sedemikian, konsep daulat masih lagi diamalkan di Malaysia. Peralatan-peralatan kebesaran yang digunakan oleh tamadun India seperti ketur, cap mohor, tombak dan perhiasan berwarna kuning yang masih diamalkan sehingga ke hari ini. Amalan sistem beraja di Malaysia juga menunjukkan bahawa pengaruh tamadun India sememangnya sudah sebati dengan yang diamalkan di Malaysia.
Selain daripada itu pengaruh Hindu yang menjadi ikutan dalam masyarakat Melayu adalah adat melenggang perut. Upacara melenggang perut ini akan dilakukan oleh tok bidan. Bahan-bahan yang digunakan dalam upacara ini adalah kunyit dan buah kelapa, agar ibu dapat melahirkan anak dengan mudah dan selamat. Adat ini dipercayai mengandungi unsur-unsur budaya Hindu dan telah menjadi ikutan masyarakat Melayu di Malaysia.
Adat berinai juga merupakan adat Hindu yang diikut oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Pengantin perempuan akan memakai inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada tapak tangan. Sebaliknya, pengantin lelaki hanya memakai inai pada jari kelengkeng, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja. Corak lukisan inai juga adalah dari pengaruh budaya hindu di tamadun India. Upacara perkahwinan masyarakat Melayu juga merupakan salah satu contoh adat Hindu yang masih di amalkan di Malaysia.
Tamadun India juga banyak mempengaruhi ilmu dari segi bahasa. Pengaruh ini dapat dilihat dalam konteks penggunaan Bahasa Melayu pada zaman empayar Srivijaya. Batu bersurat yang dijumpai di sekitar Palembang (kurun ke-7 Masihi), Talang Tuwo (684 Masihi) dan di Pulau Bangka (686 Masihi) menunjukkan bukti bahawa terdapat kira-kira 70% kosa kata Bahasa Melayu kuno dan 30% lagi kata pinjaman daripada Bahasa Sanskrit. Bahasa Melayu memang mempunyai banyak persamaan dengan Bahasa Sanskrit. Contohnya seperti:
Sanskrit | Melayu |
Wulan | Bulan |
Naik | Naik |
Sambau | Kapal |
Hiyang | Tuhan/Tuan |
Mgalap | Mencari |
Marlapas | Berlepas |
Dari | Dari |
Membawa | Membawa |
Datang | Datang |
Manua | Benua |
Bala | Tentera |
Perkembangan keilmuan juga membawa impak dalam penguasaan bahawa di Malaysia, Kepelbagaian Bahasa yang terdapat di Malaysia menjadikan masyarakat Malaysia begitu unik.
Tamadun Cina dan India telah banyak memberi kesan dan pengaruh kepada masyarakat tempatan di Malaysia. Secara signifikannya, tamadun yang sudah lama bertapak di Malaysia dan telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat tempatan dan membina keunikan negara Malaysia.