Peranan Perlembagaan dalam Mewujudkan Hubungan Etnik yang Baik dalam Kehidupan Pelajar di Universiti

Kita rujuk pada Konsep 1Malaysia dalam konteks yang sama, iaitu bertujuan membudayakan rakyat supaya bersikap menerima keunikan kepelbagaian kaum agar dapat hidup bersama dan saling hormat-menghormati. 1Malaysia adalah pendekatan serampang dua mata iaitu untuk memberi keadilan sosial kepada semua lapisan kaum dan juga ke arah pemantapan negara dan bangsa.

Apa yang kita dapat lihat dari segi kepentingan perpaduan secara khususnya pelajar diwajibkan untuk mengambil kursus Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta. Ini dapat membantu dalam memupuk hubungan etnik yang harmonis. Lantaran itu, pelajar didedahkan dengan kepentingan menjaga keharmonian antara kaum dan tidak kurang juga menghormati agama, adat, serta kepercayaan kaum lain.

Dengan pendedahan ini akan dapat mendorong pelajar untuk lebih saling memahami antara satu sama lain. Maka dengan ini akan wujudlah generasi Malaysia yang mengutamakan kejayaan dengan adanya semangat untuk bersaing, menghargai negara yang dicintai dan yang paling penting semangat bersatu padu serta saling menghormati.

Dalam mengutamakan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama salah satu konteks pendidikan yang dapat kita kaitkan adalah pembiayaan biasiswa pengajian tanpa mengira kaum dan agama. Kelebihan yang diperolehi oleh kaum bumiputera adalah hak mutlak dan bagi kaum lain yang memohon dan layak memiliki biasiswa adalah berdasarkan kebolehan kecerdasan dan merit yang ditunjukkan seseorang itu menerusi penggunaan peperiksaan keinstitusian dengan cara meritokrasis.

Tolak ansur budaya yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia juga merupakan salah satu asas yang penting dalam mewujudkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Oleh sebab tolak ansur ini jugalah Malaysia berjaya dalam mengurus hubungan etniknya. Salah satunya aspek bahasa. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sementara bahasa lain juga boleh digunakan secara meluas dalam berbagai-bagai perkara seperti perniagaan dan pekerjaan. Dari persepsi pendidikan di pendidikan awam sistem pendidikan yang dibentuk memberikan peluang yang sama pada bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Pengajian awam dan swasta sekarang memperkenalkan kepelbagaian dalam memperkasakan bahasa dan sebagai contoh yang kita dapat lihat OUM menawarkan kursus Komunikasi Asas Bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajar pra siswazah. Penawaran kursus ini mengantikan salah satu kursus wajib dalam usaha mempelbagaikan penguasaan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *